Sunday 10 February 2013

SAAT KAU LAFAZKAN Bab 2



Bab 2 - Naim Zakaria

“Alhamdulillah” aku tuturkan dalam hati seraya tanganku meraup wajah, mengaminkan doa yang dilafazkan oleh imam Razak.  Malam ini kami membuat kenduri kesyukuran sempena kejayaan menyiapkan tiga biji chalet di atas tanah peninggalan arwah atuk.  Tanah di tepi sungai yang memang sangat sesuai dijadikan resort.  Sudah hampir lapan bulan aku mengusahakan projek ini.  Bermula daripada penyediaan kertas kerja untuk mendapatkan pinjaman bank sehinggalah kepada hiasan dalaman, semuanya aku lakukan sendiri.  Alhamdulillah dalam tempoh ini aku sudah berjaya membina sebiji rumah tiga bilik dan tiga biji chalet, satu daripadanya di peringkat akhir pembinaan.  Rumah itu sudah pun siap bulan lepas dan aku jadikan tempat penginapan ala homestay.  Rasanya dalam seminggu dua lagi, setelah hiasan dalaman dan kelengkapan perabot disiapkan, tiga biji chalet tersebut juga sudah boleh disewakan.

“Jemput makan semua”, kata Ayin, adik iparku kepada semua jemaah surau yang datang sama-sama membaca surah Yasin dan bertahlil sebentar tadi.  Abah turut sama membantu Ayin mempersilakan tetamu menjamu selera. Kami hanya membuat kenduri kesyukuran dan tahlil untuk arwah atuk secara kecil-kecilan.  Sebetulnya aku terpaksa berjimat kerana banyak modal yang telah dikeluarkan untuk projek resort ini.  Hasilnya pula belum dituai.  Setakat ini baru dua kali rumah tiga bilik itu disewa. 

“Letih Naim?” tanya emak semasa aku bersandar di dinding serambi rumah.

“Sikit je mak” jawabku. 

“Kalau ada orang rumah kan senang Along, boleh minta picit” Ayin menyampuk sambil tersengih.  Tangannya ligat melipat seperah pengalas meja tempat makan Jemaah surau yang telah beredar.

“Betul tu Along.  Orang dah ada dua anak, teringin sangat nak makan nasi minyak Along” sampuk pula si Elida, adikku. 

“Ish, kamu ni Ida, Ayin, tak ada benda lain ke nak disebut?” emak membela aku.  Matanya merenung aku dalam-dalam, bagaikan mengerti perasaan yang terbuku di hati.

Bukannya aku tidak mahu berkahwin.  Mendirikan rumah tangga itu adalah sunnah Rasulullah s.a.w.  Cuma aku belum bertemu dengan seorang wanita yang mampu menyembuhkan luka di hatiku.  Seorang yang dapat membuatkan aku melupakan sejarah hitam percintaanku sebelum ini.  Selepas Ratna memutuskan pertunangan kami yang baru seminggu termeterai, aku serik untuk bercinta lagi.  Tiga tahun menyulam cinta dengan Ratna, akhirnya impian untuk sehidup semati dengannya punah.  Ratna, satu-satunya perempuan yang berjaya membuatkan aku bagaikan makan tidak kenyang, mandi tidak basah dan tidur tidak lena.  Siang terbayang-bayangkannya, malam termimpi-mimpi pula.  Kekecewaan yang dicetusnya meninggalkan kesan yang teramat dalam.  Lantas aku bertekad untuk tidak bercinta lagi.  Aku mahu terus berkahwin bila berjumpa dengan seseorang yang mampu mencairkan hatiku.

Namun belum ada seorang perempuan yang mampu mengocak tangkai hatiku.   Puas orang tuaku, terutamanya emak, mencarikan pasangan. Tetapi kini setelah tiga tahun, emak seakan-akan telah berhenti berharap.  Tidak ada lagi gadis yang cuba dipadankan dengan aku.

Sejak kebelakangan ini, melihat kebahagiaan Elida bersama suami dan anak-anaknya, juga melihat rakan-rakan lain yang sudah berkeluarga, terdetik keinginan untuk mendirikan masjid.  Juga leteran dan nasihat dari Fina, adikku yang kini belajar di Australia semakin menyedarkan aku.  Aku sedar dari segi hukum, sudah jatuh wajib ke atasku bernikah.  Kata-kata semangat dari Fina menyedarkan aku bahawa aku tidak boleh lemah dengan kegagalan hubunganku dengan Ratna.  Maka, kebelakangan ini, dalam doaku aku titipkan permintaan agar dipertemukan dengan jodohku segera.  Semoga Allah memperkenankan permintaanku.

Aku bangun dan turun dari serambi.  Niatku ingin ke belakang rumah.  Malas aku melayan usikan Ayin dan Elida.  Tiba-tiba Lokman dan Hafiz, anak Elida yang masing-masing berusia empat dan dua tahun berlari ke arahku.

“Pak Long, kita jumpa ni kat rumah homestay” kata Lokman sambil menyerahkan satu cekak rambut kepadaku.

“Abang, bagilah kita, kita nak,” Hafiz cuba merebut cekak rambut tersebut daripada tangan abangnya.

“Tak bolehlah, bukan kita punya.  Kan mama marah kalau ambil barang orang,” jawab Lokman seraya berlari mengelilingiku, cuba mengelak daripada adiknya. 

“Betul tu Hafiz, ni orang punya” kataku sambil mengambil cekak itu. 

“Lagipun Hafiz boy, benda ni girl punya, mana boleh pakai” aku memujuk.

“Ha ha, Hafiz pondan! Nak pakai cekak” Lokman menyakat adiknya lantas berlari meninggalkan aku.  Hafiz mengejar abangnya, tak puas hati digelar pondan.

Aku hanya mampu tersenyum melihat gelagat mereka.  Cekak rambut berwarna ungu dengan corak polka dot putih dan dihiasi batu berkilauan itu aku bawa bersama ke rumah homestay.  Malam ini Elida sekeluarga akan bermalam di situ.  Sampai di rumah itu yang jaraknya kira-kira seratus meter dari rumahku, terus aku simpan cekak rambut itu di dalam kotak barang yang aku khaskan untuk barang-barang tetamu homestay.  Setakat ini hanya cekak itulah sahaja barang yang dicicirkan oleh tetamu yang pernah menduduki homestay ini.  Tiba-tiba ingatanku kembali kepada pemilik cekak itu.

Dia datang kira-kira dua minggu lepas.  Orangnya muda, mungkin dalam lingkungan usia 24 atau 25 tahun.  Cantik orangnya.  Rambutnya panjang hampir mencecah pinggang.  Kulitnya cerah.  Bibirnya nipis.  Bulu matanya tidak terlalu lentik tetapi keningnya tebal.  Namun kecantikannya tenggelam dek wajahnya yang suram. 

Ketika dia sampai, aku tiada di rumah.  Emak yang menguruskan pendaftaran masuknya ke rumah homestay.  Kata emak wajahnya seperti orang dalam kedukaan.  Dia tidak banyak bercakap, tidak senyum dan tidak mesra.  Aku jumpa dia keesokan harinya ketika dia hendak mendaftar keluar. 

“Encik, saya nak check out” satu suara yang bernada sayu menyapa telingaku ketika aku sedang melayari internet di kaunter pendaftaran.  Aku ingin meninjau bagaimana perniagaan homestay yang wujud di negara ini memasarkan homestay mereka di internet.

Pandanganku berkalih ke arahnya.  Kelihatan wajahnya sembab dan matanya bengkak dan merah.  Dia tidak memandang aku walaupun tangannya menghulurkan kunci rumah homestay kepadaku.  Dan sebaik sahaja aku mencapai kunci di tangannya, dia terus berlalu.

“Cik, bayaran semalam ada bakinya” laungku.

Dia berpaling dan matanya yang sendu itu bertembung dengan mataku.  Riak suram di wajahnya jelas kelihatan, mengundang persoalan di hatiku.  Siapa dia?  Apa yang telah terjadi kepadanya?  Adakah dia telah menangis semalaman? 

“Cik,” kataku lagi.  Dia hanya membatu.  Aku berjalan ke arahnya bersama tiga keping not sepuluh ringgit. 

“Simpan ajelah duit tu”, dan dia melangkah pergi.  Launganku tidak dihiraukan.

Duit baki sebanyak tiga puluh ringgit dan cekak yang emak jumpa ketika mengemas rumah homestay aku simpan.  Mungkin satu hari nanti, jika dia kembali menginap di sini, akan aku pulangkan kepadanya.

No comments:

Post a Comment