Thursday 7 February 2013

SAAT KAU LAFAZKAN

Assalam.

Mulai hari ini saya akan masukkan dalam blog manuskrip pertama saya.  Tajuknya SAAT KAU LAFAZKAN.  Kalau ada rezeki, boleh jadi novel satu hari nanti.  Namun kalau sebaliknya yang ditentukan oleh Allah swt, maka ia akan jadi e-novel di blog BETWEEN A AND Z. 

Terfikir pula sesuai ke guna BETWEEN A AND Z untuk blog ni?  Or should I change the name?  I will figure that out later.

In the meantime, here's Bab 1 SAAT KAU LAFAZKAN.  Harap-harap dapat komen positif dan membina daripada yang sudi singgah dan baca.

Terima kasih.


SAAT KAU LAFAZKAN
 
Bab 1 - Izureen

Semalam baru aku tahu betapa sakitnya bila cinta tidak dibalas.  Aku sangka dia betul-betul sayangkan aku.  Aku fikir dia cintakan aku.  Aku yakin dalam hatinya hanya ada aku.  Bukan salah aku untuk beranggapan begitu.  Sudah tujuh tahun aku kenali dia.  Daripada tahun pertama di universiti. hinggalah hari ini, di mana kami sudah tiga tahun melangkah ke alam pekerjaan. 


Kami sebaya.  Sama-sama belajar di UM dalam jurusan perakaunan.  Dia yang menegur aku dahulu selepas seminggu kuliah semester pertama bermula.  Kami disuruh pensyarah mencari pasangan untuk menyiapkan tugasan.  Aku yang memang sejak azali agak pemalu hanya melihat sahaja rakan-rakan sekuliah sibuk bertanya sesama sendiri.

 
“Izureen”, panggilnya yang duduk di belakang aku dalam dewan kuliah.  Entah dari mana dia tahu nama aku.  Bila aku berpaling, dia tersengih.

“Kau dah ada partner?” 
“Belum”
“Kita partner berdua nak?”

 
Sejak itu kami macam belangkas.  Ke mana sahaja berdua.  Kalau ada aktiviti yang melibatkan kumpulan, kami berdua akan masuk kumpulan yang sama. 

 
Dia seorang sahabat yang baik.  Sentiasa ada bila aku memerlukannya.  Dan aku percaya aku juga seorang kawan yang baik untuknya.  Kalau tidak takkanlah kami kekal bersahabat sehingga sekarang.  Keluarga aku kenal dia dan keluarga dia pun kenal aku. 

 
Bila balik kampus selepas menghabiskan cuti semester di kampung, dia sentiasa bawa buah tangan untuk aku.  Ada sahaja yang mak dia kirimkan.  Mula-mula aku segan sebab mama tidak pernah bagi dia apa-apa.  Tapi bila dia kata tidak kisah, aku pun jadi tidak kisah dan sentiasa tertunggu-tunggu apa yang mak dia kirimkan. 

 
Setiap tahun dia tidak pernah lupa hari ulangtahun kelahiranku.  Masa belajar dulu hadiahnya biasa-biasa sahaja.  Bila sudah bekerja, hadiahnya pun naik taraf.  Tahun lepas dia belikan aku beg tangan jenama Coach.  Tahun ini pula dia belikan aku tiket Universal Studio di Singapura.  Siap pergi bersama-sama lagi.  Tetapi kami tidak pergi berdua, Fawwaz dan Aida pun ikut.  Fawwaz ialah bekas rakan sekuliah kami.  Aida bekas pelajar Fakulti Pendidikan yang bercinta dengan Fawwaz sejak di UM.  Bulan lepas Fawwaz dan Aida telah pun bernikah.

 
Setiap kali dia beri hadiah hari lahirku, akan ada kad kecil yang dicoretkan kata-kata yang mencuit perasaan.  Dan aku masih menyimpan semua kad-kad tersebut.

 “Untuk permata hati aku yang paling comel”
“Happy birthday, aku sayang kau dunia dan akhirat”
“Sayangku, I hope you like this special gift, for a very special person in my life”
“Izu, you are one in a million and therefore will always be in my heart.  Happy birthday dear!”
“Allah selamatkan my sweet angel

 
Perempuan manakah yang tidak akan terusik hatinya bila membaca kata-kata sedemikian.  Itu belum lagi luahan yang keluar dari bibirnya tatkala berbicara denganku.  Dia memanggil aku Izu.  Bunyinya agak kelelakian tapi katanya nama itu sangat sesuai dengan aku.  Dan bila dia memanggil aku, sering ada gelaran yang mendahului atau mengikuti perkataan Izu.

“Izu sayang,..”
My darling Izu…”
“Izu my sweetheart…”

 
Kali pertama dia memanggil aku sayang, jantung aku berdegup kencang.  Terkedu, rasa tidak percaya, suka, semuanya bercampur baur.  Lama kelamaan aku menyukai gelaran-gelaran manis yang diberikan kepadaku.
 

Dia juga sering memuji penampilanku.  Asalnya aku gemar berpakaian kasual.  Seluar jeans, t-shirt dan topi untuk menutupi rambut aku.  Rambut aku pendek sebab aku tidak suka mengeringkan rambut.  Bukankah rambut panjang memerlukan masa yang lebih lama untuk dikeringkan.  Dia kata aku comel dengan penampilan begitu.  Tetapi dia juga kata aku akan lebih comel kalau berambut panjang.  Maka, sejak semester ketiga aku mula membiarkan rambutku panjang.  Kalau potong pun sekadar ditrim di hujung.  Aku sudah tidak pakai topi lagi kecuali kalau ada aktiviti luar di bawah terik mentari.  Pakaian ke kuliah mula dipelbagaikan.  Ada harinya aku berbaju kurung, malah pernah juga berkebaya.  Aku juga pakai skirt labuh, skirt kembang, blaus, gaun dan macam-macam lagi.  Rakan-rakan sekuliah yang lain juga memuji penampilan aku.  Tetapi itu semua tidak penting bagi aku.  Yang penting dia suka dengan cara pemakaian aku dan yang penting dia kata imej baru aku membuatkan aku kelihatan lebih feminin dan manis.

 
Kami berkongsi cerita, juga berkongsi rahsia.  Hubungan renggang aku dengan mama diketahuinya.  Perihal papa yang meninggal dunia ketika aku berusia 16 tahun, kisah papa yang beristeri dua dan rahsia ini hanya terbongkar pada hari papa meninggal, juga aku kongsi bersamanya.  Dan banyak lagi kisah hidupku yang diketahuinya. Dia juga sentiasa bercerita tentang berbagai peristiwa dalam hidupnya.

 
Setelah tamat belajar, dia sentiasa menemani aku menghadiri temuduga.  Nasib menyebelahi aku kerana selepas tiga minggu tamat pengajian aku mendapat kerja.  Manakala dia terpaksa menunggu dua bulan sebelum mendapat kerja di sebuah firma cari gali minyak.

 
Kami mula sibuk dengan kerjaya masing-masing tetapi masih berhubung.  Boleh dikatakan, hampir setiap hujung minggu kami berjumpa.  Tengok wayang, main bowling, menonton teater, sekadar bersiar-siar, window shopping dan membeli belah adalah kegiatan yang sering kami lakukan bersama.  Tetapi aktiviti yang paling digemarinya ialah bermain luncur ais di Sunway Pyramid.  Daripada tidak pandai, aku kini sudah mahir meluncur ais hasil daripada ajarannya.

 
Ada juga sekali sekala kami tidak dapat keluar bersama di hujung minggu atas alasan seperti dia balik kampung, menghadiri majlis atau kenduri, menghadiri latihan yang diuruskan oleh majikannya dan dia bercuti bersama keluarganya.  Namun semuanya dimaklumkan kepadaku. 

 
Kelmarin aku ajak dia keluar.  Dia kata dia pun memang hendak berjumpa dengan aku kerana ada perkara penting yang hendak dimaklumkan kepada aku.  Jadi semalam, seperti yang dipersetujui dia datang menjemput aku di rumah tepat pukul 9 pagi.  Aku lihat wajahnya berseri-seri.  Nampak dia gembira sangat-sangat.  Tapi aku pula lain jadinya.  Entah kenapa bila melihat dia begitu aku jadi berdebar-debar.  Ternanti-nanti apa yang hendak diceritakannya. 

 
Dia memandu keretanya dengan tenang sehingga kami sampai di Tasik Putrajaya.  Baru pukul 10 pagi jadi orang belum ramai di situ.  Dia mengajak aku menaiki bot menyusuri tasik Putrajaya.  Aku setuju, lebih-lebih lagi dia yang belanja.

 
“Semalam kau kata ada benda penting nak beritahu, apa dia?” tanyaku setelah kami berbual-bual kosong sambil menikmati pemandangan di sekeliling tasik.

 
Dia senyum.  Lama dia pandang aku.  Jantungku mula berdetak.  Tak tahan rasanya direnung begitu.  Aduhai, kacaknya dia bila tersenyum.

 
“Ish kau ni, tak sabar betullah.”
 “Aku takut kau lupa, semalam bunyinya macam penting sangat.”
 “Mana boleh aku lupa bagitau engkau.  You know love, you are the first person to know about this.  Even parents aku belum tahu lagi.”
“Apa dia?  Cakaplah cepat, kau ni buat aku suspense lah” debaran di dada semakin kuat.
OK honey, I am going to tell you.. soon.  Bila kita habis pusing tasik aku akan cerita”.
“Alah, cerita ajelah sekarang.  Tak ada bezanya kau cakap sekarang atau sekejap lagi.  Kau tetap kena bagitau aku kan?” aku mendesak.

 
Sudah tak sanggup menanggung debaran di dada.  Adakah apa yang ingin disampaikannya adalah sesuatu yang telah lama aku harapkan? Apakah hari ini dengan rasminya dia akan mengumumkan perasaannya terhadapku dan melamar aku? 

 
“OK.. OK.. aku bagitau.  Listen carefully darling” dia menarik nafas dalam-dalam, seolah-olah menenangkan dirinya.

 
“Aku dah jatuh cinta.  Aku dah jumpa seorang perempuan yang akan menjadi ratu dalam hidupku dan aku dah bersedia untuk menamatkan zaman bujang” senyuman meleret di bibirnya tatkala kata-kata itu diungkapkan perlahan-lahan.

 
Aku senyum.  Gembira kerana akhirnya penantianku untuk mendapatkan pengisytiharan cintanya terhadapku kini berakhir.

 
“Semalam aku lamar dia dan dia terima lamaran aku.  Dia suruh aku jumpa orang tuanya dan meminang dia mengikut adat”.

 
Berderau darahku mendengarnya.  Senyuman dibibirku terus hilang.  Wajahku bertukar kelam.  Pastinya orang itu bukan aku.  Semalam kami berbual di telefon, mana ada dia melamar aku.  Pesanan ringkas yang dihantar ke telefon bimbit sekadar mengingatkan tentang pertemuan hari ini.  Juga tidak ada sebarang pesanan melalui Facebook.

 
“Izu, kau dengar tak apa aku cakap?” dia bertanya apabila agak lama aku hanya mendiamkan diri. 

 
Ya, aku dengar.  Malahan aku juga faham apa yang dikatakan.  Hancur luluh hatiku saat ini.  Impian untuk menjadi ratu hatinya berkecai bagai cermin yang dihempas ke lantai.  Ketika ini aku rasa mahu terjun ke dalam Tasik Putrajaya itu.  Biarlah aku lemas di dasar tasik ini, bersama impian dan harapan yang telah lebur, bagai larut di dasar tasik.

No comments:

Post a Comment