Sunday 6 January 2013

Cinta Abang Teksi - Bahagian Akhir


Esoknya seawal jam empat pagi Balqis dikejutkan dengan bunyi dari arah dapur.  Rupa-rupanya umi Arif sedang sibuk membungkus nasi lemak.  Lantas Balqis terus bangun, ke bilik air membersihkan diri dan kemudian ke dapur, menghulurkan bantuan setakat yang mampu.  Dia berharap dengan membantu umi Arif dapatlah dia membalas budi baik keluarga itu yang bukan sahaja membenarkan dia bermalam di rumah mereka, malahan melayannya dengan baik.

Bacaan ayat suci Al Quran jelas kedengaran dari surau, menandakan sebentar lagi akan masuk waktu solat Subuh.  Arif dan Amirul membentang sejadah di ruang tamu.  Umi Arif menghulurkan telekung kepada Balqis.  Sudah menjadi rutin keluarga ini berjemaah Subuh bersama-sama, dulu diimamkan oleh si ayah.  Namun sejak keuzurannya Arif menjadi imam.  Selesai bersolat Balqis terfikir betapa sudah terlalu lama dia tidak berjemaah di waktu Subuh.  Jangankan berjemaah, Subuhnya selalu tertinggal lantaran dia sering bangun lewat.

Selesai bersolat Arif keluar menjinjing dua plastik besar mengandungi nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang, diikuti oleh Amirul yang sudah siap berpakaian seragam sekolah.  Kini dia mengambil alih tugas ayahnya menghantar nasi lemak ke warung dan restoran dan kemudian menghantar Amirul ke sekolah.  Balqis ke dapur, meninjau jika ada apa yang perlu ditolong. 

Umi Arif meminta Balqis menyediakan seteko kopi dan setelah kopi disiapkan, Balqis membantu pula menghidang sarapan.  Sebentar kemudian Arif pulang dan mereka berempat bersarapan bersama. 

“Lain macam kopi umi pagi ni,” ujar Arif selepas menghirup kopi panas.

“Bukan umi yang buat, Balqis yang buat kopi tu.”  Umi menjawab.

“Sedap” ujar Arif ringkas.  Matanya melirik ke arah Balqis di hadapannya.  Kebetulan Balqis juga sedang memandangnya.  Mereka saling merenung buat seketika.  Ada getaran di dada Balqis, juga satu perasaan aneh yang tidak dimengerti.  Tidak betah bertatapan mata, lantas pandangan matanya dialihkan.

***

“Awak kerja di sini?” soal Arif sebaik sahaja teksinya dihentikan di hadapan Butik Baldu Ungu.

“Ya.  Ini butik Mama.  Selepas habis belajar enam bulan lepas, saya bekerja di sini.”

Jeda seketika.  Baik Balqis mahupun Arif, kedua-duanya bagai kehilangan kata-kata.

“Terima kasih di atas segala pertolongan awak dan keluarga awak.  Saya akan sentiasa ingat awak sekeluarga.” 

Arif sekadar mengangguk.  Sungguh dia kehilangan bicara.  Bagai ada sesuatu yang tersekat di kerongkongnya.  Satu perasaan aneh menjentik tangkai hatinya. 

Balqis menghulurkan tiga keping not RM50 kepada Arif, namun Arif hanya memandang sepi wang tersebut.

“Kenapa, tak cukup ke?”

“Simpan duit tu” dengan tangan kirinya, Arif menolak lembut duit tersebut.  Menimbulkan kehairanan di hati Balqis.

“Tapi...” ayatnya mati di situ tatkala matanya bertaut dengan pandangan Arif.  Dada mula berdetak laju.  Perasaan yang sama dialaminya ketika bertaut pandangan dengan Arif malam tadi datang lagi.  Sungguh dia tidak mengerti kenapa debaran ini melanda.

***

Dua minggu berlalu dan Mama Balqis bersyukur dengan perubahan anaknya.  Kini Balqis tidak lagi keluar malam.  Tiada lagi perbalahan di antara mereka.  Dan yang menggembirakan, Balqis sudah bersolat lima waktu setiap hari.  Dalam hatinya tertanya-tanya apakah yang mencetuskan perubahan positif di dalam diri anak bongsunya.

“Qis” panggil Mama dengan lembut sebaik sahaja mereka usai menikmati makan malam di restoran milik Papa Balqis. 

“Dah lama Qis tak keluar dengan Jefri” ujar Mama, sebenarnya dengan niat untuk mengorek maklumat.

“Kami dah putus.  Dia ada perempuan lain” dengan tenang Balqis menuturkannya.  Tiada riak sedih di wajahnya dan dalam nada suaranya.  Selepas dua minggu, hatinya yang hancur sudah semakin pulih.  Dalam setiap doanya dia sentiasa memohon diberi kekuatan untuk mengharungi kegagalan percintaan ini. 

Don’t worry dear, you deserve a better man dan Papa pasti Allah akan menghantar jodoh yang lebih baik untuk Qis.”  Balqis terharu dengan kata-kata Papanya. 

“Lina kata, dalam dua minggu ni, ada sebuah teksi selalu berhenti di depan butik kita” ujar Mama dengan pandangan yang mengharapkan penjelasan daripada Balqis.  Balqis mengangkat kepala, memandang Mama dengan mata yang bersinar.

“Ya ke Mama?” soalnya.  Tidak pernah pula Lina si pembantu butik menceritakan hal itu kepadanya.  Dan sungguh, dia tidak perasan akan kehadiran teksi di hadapan butik mereka.

“Ya.  Lina kata kalau Qis ada teksi itu berhenti lama.  Bila Qis tak ada, dia berhenti sekejap saja.  Kata Lina lagi pemandu teksi tu muda dan handsome.” 

Sebuah senyuman terukir di pinggir bibir Balqis. 


***

“Terima kasihlah sudi datang menjenguk kami.  Bila-bila ada masa, datanglah lagi ya” ujar umi Arif tatkala melepaskan pelukan Balqis.

“In sya Allah makcik.  Sampaikan salam Qis pada Arif.”

Balqis berjalan ke arah keretanya yang diparkir di hadapan rumah Arif dengan senyuman di bibir.  Gembira dapat bertemu dengan umi dan ayah Arif.  Sedikit kecewa kerana Arif tiada di rumah.  Kata uminya, setiap hari Sabtu dan Ahad Arif mengajar di kolej.  Rupa-rupanya Arif seorang pensyarah.  Sebelum ini dia bekerja sepenuh masa tetapi selepas ayahnya diserang angin ahmar Arif bekerja separuh masa dengan mengajar di hujung minggu sahaja dan membawa teksi pada hari-hari yang lain.  Ini bagi memudahkannya menguruskan ayahnya kerana dengan membawa teksi dia tidak terikat dengan waktu kerja yang ditetapkan pihak kolej.

Balqis memandu dengan berhati-hati.  Telefon pintar di tepi dijelingnya sambil tersenyum.  Gembira kerana nombor telefon Arif kini tersimpan di dalam telefon itu.  Mahu sahaja dia mendail nombor Arif, namun ditahan hasrat itu.  “Sabar Qis, jangan terburu-buru menyukai seseorang.  Jangan ulangi kesilapan ketika bersama Jefri dulu,” Balqis berpesan kepada dirinya sendiri.

***  

Ke mana dia pergi?  Sudah seminggu kelibatnya tidak kelihatan di butik.  Adakah dia keluar daerah, bercuti, atau sakit?  Atau mungkin dia dilanda masalah?  Ish, jangan fikir yang bukan-bukan.  Semua itu berlegar di fikiran Arif.  Sejak dia menghantar Balqis ke butik ini tiga minggu yang lepas, boleh dikatakan hampir setiap hari dia akan singgah di depan Butik Baldu Ungu.  Kalau tidak sempat pagi, di waktu tengahari dia cuba singgah.  Jika tengahari juga tidak berkesempatan, maka dia datang di waktu malam.  Asalkan dapat melihat kelibat Balqis, hatinya cukup gembira.

Arif berpaling ke kiri, matanya masih tidak mahu lelap.  Wajah itu datang lagi.  Dia masih ingat garisan duka di wajah itu.  Dan tetap segar di ingatannya senyuman manis dan pandangan redup dari mata galak itu.  Aneh, asalnya dia tidak suka gadis yang berani menumpang tidur di rumahnya sedangkan mereka tidak saling mengenali.  Namun kuasa Allah membalikkan hatinya, dalam satu malam perasaan itu bertukar.  Terbit rasa cinta dan kini dia rindu. 

Berpaling pula ke kanan, mata tetap tidak mahu pejam.  Akhirnya Arif bangun, mengambil wuduk dan menunaikan solat sunat.  Dalam doanya dia memohon kepada Illahi bahawa jika Balqis itu jodohnya, tunjukkanlah dan permudahkanlah.  Namun jika Balqis bukan jodohnya, dia memohon agar perasaan yang bersarang di hatinya hilang terus.


***

Arif memandu perlahan-lahan, sambil matanya mencari rumah bernombor 28 seperti yang diarahkan oleh wanita bernama Lina yang menghubunginya semalam.  Dia diminta mengambil seorang penumpang dari rumah itu dan membawa penumpang tersebut ke Butik Baldu Ungu.  Mendengar nama Butik Baldu Ungu, Arif terus bersetuju.

Teksi diberhentikan dan Arif keluar.  Belum sempat dia menekan loceng, pagar automatik rumah banglo dua tingkat di kawasan perumahan elit itu terbuka.  Seorang wanita berbaju kurung hijau dan bertudung warna sedondon muncul di balik pagar.  Arif terpempan tatkala matanya menangkap wajah di depannya.

“Assalammualaikum” Balqis memberi salam, setelah mereka saling merenung buat seketika. 

“Waalaikumussalam” jawab Arif.  Matanya tidak berkelip melihat wajah manis di depannya.  Benarkah ini Balqis?  Sudah seminggu dia tidak melihat Balqis di butik.  Tidak semena-mena pagi ini, di depan matanya Balqis yang kini manis bertudung sedang tersenyum.

Balqis meninggalkan Arif yang masih terpempan lalu masuk ke dalam teksi.  Melihatkan Arif masih kaku di depan pagar, Balqis akhirnya bersuara.

“Arif, awak nak saya pandu sendiri ke teksi ni?”

Arif tersenyum.  Malu dengan dirinya yang terleka meneliti wajah Balqis.  Cepat-cepat dia masuk ke dalam teksi.

“Apa khabar?” soal Arif sebaik teksinya bergerak meninggalkan rumah Balqis.

“Alhamdulillah.  Awak?” Balqis pula menyoal. 

“Alhamdulillah.”

Jeda.  Kedua-duanya kelu.  Di dalam hatinya Balqis menyimpan rasa gembira kerana akhirnya dapat bersemuka dengan Arif.  Bagi Arif pula, bukan setakat gembira bersua dengan Balqis, malah terpegun dengan kecantikan Balqis yang semakin terserlah apabila bertudung.

“Terima kasih sebab menziarah orang tua saya,” akhirnya Arif memecah kebisuan di antara mereka.

You are welcome.  Saya pun nak ucapkan terima kasih kepada awak,” ujar Balqis sambil bibirnya menguntum senyuman.

“Kenapa?” Arif kehairanan.

“Kerana setiap hari menjenguk saya di butik.  Cuma saya hairanlah, kenapa orang tu tak masuk.  Tak aci lah main intai-intai dari luar.”

Ayat yang mengundang senyuman lebar di bibir Arif.  Kesesakan lalu lintas di pagi Jumaat memaksa teksinya bergerak amat perlahan.  Arif berpaling, memandang Balqis sekilas.  Di hatinya mekar bunga-bunga cinta namun dia tidak pasti apakah Balqis berkongsi perasaan yang sama.

“Nak masuk, tapi takut.  Manalah tau orang di dalam tu tak sudi berjumpa dengan saya.”

“Kalau tak sudi, orang ni takkan minta abang teksi datang mengambil dia di rumah.”  Ungkapan yang lahir dari bibir Balqis menggembirakan Arif.  Dalam hatinya dia melafazkan syukur.

***

“Qis,” panggil Arif dengan lembut, sambil tangannya merangkul pinggang Balqis.  Bintang-bintang yang berkerdipan di langit dan bayu malam yang bertiup lembut menjadi saksi dua insan yang saling mencintai berdakapan di balkoni kamar pengantin. 

“Terima kasih kerana sudi menerima cinta Abang.” Arif merenung ke dalam mata isterinya.  Mencari sinar bahagia yang terpancar di sebalik renungan mata Balqis.

“Qis yang patut berterima kasih kepada Abang, kerana sudi mengambil Qis sebagai isteri.”  Balqis melekapkan pipinya ke dada Arif.  Terasa selamat di dalam rangkulan suaminya.

“Abang tak punya apa-apa untuk Balqis.  Abang ikhlas mencintai Qis dan Abang berjanji akan menjaga cinta ini agar sentiasa mekar sehingga ke akhir hayat.  Jika Abang lalai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai suami, tolong ingatkan Abang.”

Balqis mengangkat kepalanya, merenung jauh ke dalam mata Arif.  Terharu dengan ikrar cinta yang dilafazkan suaminya.

“Qis hanya perlukan cinta Abang.  Qis yakin Abang seorang suami yang baik kerana Abang seorang anak yang baik.  Abang ingat tak pertemuan pertama kita?”

Arif memandang Balqis dengan penuh kasih sayang, sabar menanti penjelasan isterinya.

“Ketika Abang berhenti solat di masjid, dan melihat cara Abang menjaga umi dan ayah, timbul rasa kagum dalam hati Qis dan dengan izin Allah rasa kagum itu bertukar menjadi cinta.”

Arif senyum, dan kemudian mengucup dahi Balqis.  Tubuh Balqis ditarik lembut ke dalam rangkulannya.  Terkenang peristiwa dia menyaksikan Balqis berbual-bual dengan uminya di taman di luar rumah, pada malam Balqis menumpang tidur di rumahnya.  Ketika mata mereka bertembung, satu perasaan aneh menyelinap di tangkai hatinya.  Perasaan cinta yang Allah utuskan.  Sejak itu timbul keinginan untuk memiliki Balqis sebagai isterinya. 

“Balqis,” ujar Arif sambil tangannya memegang dagu Balqis, mengangkat wajah Balqis agar mata mereka bertatapan.

“Uhibbukifillah.”  Sepatah lafaz cinta untuk isteri yang dianugerahkan oleh Allah.  Isteri yang diciptakan dari tulang rusuk kirinya, untuk dicintai, dibimbing, dilindungi dan dihormati haknya.


No comments:

Post a Comment