Monday 14 January 2013

PAYUNG EMAS TEDUHAN QASEH

My second cerpen.  Alhamdulillah, siap juga akhirnya.  Kali ini kisah orang yang nak bermadu.  Sekadar rekaan sahaja, tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang sudah meninggal.


PAYUNG EMAS TEDUHAN QASEH

“Maafkan Abang Thiya.  Abang tak sangka akan jadi begini.”
 
Fathiyah diam.  Hatinya remuk, hancur dan berkecai.  Tergamak suami yang dicintai memperlakukannya sebegitu.  Tidak cukupkah segala pengorbanan yang telah dicurahkan selama ini.  Apakah hanya kerana satu kekurangan, dia dihukum?  Dihukum pula dengan satu hukuman yang amat ditakuti oleh mana-mana isteri.

“Ke mana perginya cinta sejati Abang?  Cinta yang Abang janjikan hanya untuk Thiya.  Baru tujuh tahun kita kahwin.  Secepat itu cinta Abang beralih arah?”

Jazman memandang isterinya dengan penuh ihsan.  Perlahan-lahan dia merapati isterinya, lantas duduk di sebelah Fathiyah.  Tangan Fathiyah diraih ke dalam genggamannya.

“Thiya, cinta Abang pada Thiya tak pernah berubah sayang.”  Jazman merapatkan wajahnya, mahu mencium pipi Fathiyah.  Sepantas kilat Fathiyah mengelak.  Empangan airmatanya pecah, melimpahkan air jernih yang bertitisan di pipinya. 

Jazman pegun.  Hatinya pedih melihat melihat Fathiyah menangis.  Kalau boleh dia sendiri tidak mahu semua ini terjadi.  Namun apalah dayanya untuk melawan takdir.  Dia sendiri tidak menjangkakan belas ihsan yang dipersembahkan kepada Qaseh Hana boleh bertukar menjadi perasaan cinta. 

 “Dulu Abang janji hanya Thiya isteri Abang.  Sekarang Abang mungkiri janji Abang.  Thiya terima segala kebaikan dan kekurangan Abang.  Tergamak Abang jadikan kekurangan Thiya sebagai alasan.  Mengaku sajalah Bang.  Abang memang dah tak sayangkan Thiya lagi.”
 
Esakan Fathiyah semakin kuat.  Jazman berpaling ke arah isterinya.  Bahu Fathiyah dipegang dengan lembut.  Airmata Fathiyah diseka dengan jari.  Ditarik Fathiyah perlahan-lahan ke dalam rangkulannya.  Mahu sahaja Fathiyah menolak Jazman, meleraikan dirinya dari rangkulan suami yang dicintai, melebihi dirinya sendiri.  Namun dia tidak mampu.  Yang termampu dilakukan saat ini hanyalah menangis sepuas-puas hatinya.  Biar Jazman tahu betapa terdera perasaannya.

“Thiya…..” Jazman memanggil dengan lembut, sambil mengusap belakang isterinya.
 
“Cinta Abang tak pernah berubah sayang.  Cuma Abang minta izin untuk mengagihkan kasih sayang Abang kepada seorang perempuan.  Nasibnya tidak sebaik Thiya.  Abang sekadar mahu membantu dia.”

Thiya mengangkat mukanya dan melepaskan diri dari rangkulan Jazman.

“Siapa perempuan tu Bang?”  soalan ditanya sambil mata memandang tajam ke arah Jazman.  Ada rasa benci pada sinaran matanya.  Jazman tidak pasti, apakah benci kepadanya atau benci kepada perempuan itu.

“Dia ibu tunggal” jawab Jazman.

“Janda?  Betullah kata orang janda ni jahat, suka rampas suami orang.”

“Tak baik cakap macam tu Thiya.  Bukan dia rampas Abang dari Thiya, Abang sendiri yang terpanggil untuk menolong dia.  Dia ada tiga orang anak dan dia susah,” Jazman menerangkan dengan lembut.  Dia tidak suka tuduhan Fathiyah terhadap Qaseh Hana, namun dia juga tidak mahu berkeras dengan Fathiyah, untuk mengelakkan luka yang sedia ada menjadi parah.

“Kalau Abang nak tolong, tolong sajalah.  Kenapa sampai nak kahwin dengan dia.  Thiya tahu tu semua alasan saja.  Mengaku sajalah Bang…. Abang memang dah tak sayangkan Thiya lagi.”  Esakan Fathiyah kedengaran semula.

Jazman menarik nafasnya dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan.  Buntu.  Dia tahu tidak semudah itu bagi Fathiyah untuk mengizinkannya beristeri lagi.  Tiada isteri yang rela dimadukan.  Jika ada pun mungkin satu dalam seribu!  Namun keputusan ini diambil setelah dia memikirkannya masak-masak.  Malahan dia juga meminta pendapat kedua orang tuanya dan Ustaz Ramli yang sering memberi kuliah di masjid di tempat dia menginap.  Seperti yang dijangka, ibunya membantah.  Namun selepas ibunya berjumpa Qaseh Hana dan anak-anaknya, ibu menukar fikiran.  Ustaz Ramli pula menyarankan agar dia melakukan solat istikharah dan selepas beberapa kali melakukan solat, Jazman mendapat petunjuk yang dicarinya.
 

*****
Tiga bulan yang lalu.

Qaseh Hana menarik nafas kelegaan.  Lafaz “Alhamdulillah” terbit dari mulutnya, bersyukur kerana wajah pucat Iman Naqif sudah beransur cerah.  Nafasnya yang mencungap sebentar tadi sudah teratur.   

Jazman mencabut nebulizer dan kemudian kembali ke kerusinya.  Sambil tersenyum botol vitamin C dicapai dan sebiji tablet berwarna jingga dihulurkan kepada Iman Naqif.  Dia menulis sesuatu di atas kad pesakit.  Selesai menulis dia memandang ke arah ibu muda itu. Wajahnya suram, bagaikan ada kesedihan yang betapa di dalam dirinya. 

“Ada ubat sedut di rumah?”  Qaseh Hana menggeleng.

“Sebelum ini dapat rawatan di mana?” soal Jazman.

“Klinik kerajaan.  Tapi tadi keadaan dia teruk sangat, saya tak boleh tunggu sampai esok.” 

Qaseh Hana menjawab.  Terasa bersalah kerana tiba di klinik di kala pintu klinik sedang dikunci.  Mujurlah tuan doktor yang baik hati itu mengarahkan pembantunya membuka semula pintu.  Dan dengan senang hati doktor berwajah kacak itu merawat Iman Naqif.

“Baiklah Puan boleh ambil ubat di kaunter.  Nanti pembantu saya akan terangkan cara pengambilan ubat.”

Qaseh Hana mengucapkan terima kasih dan keluar dari bilik rawatan. 

“Doktor,” panggil pembantu klinik bernama Ani.

“Dia tanya, boleh tak dia bayar separuh dulu.  Katanya tak cukup duit untuk tambang teksi.”

Jazman berfikir sejenak.  Sebelum ini sudah banyak kali berlaku kes sebegini.  Atas dasar simpati dia membenarkan.  Ada yang datang semula untuk menyelesaikan bayaran, ada juga yang terus lesap.

“Bagilah” pendek arahan Jazman kepada Ani.  Jam di tangan dikerling.  Sudah pukul sepuluh setengah malam.  Senangkah mendapat teksi di waktu begini, soalnya di dalam hati.  Timbul rasa simpati terhadap ibu muda itu dan anaknya. 

 

*****

Jazman memandu dengan berhati-hati.  Badannya terasa letih.  Sepatutnya di waktu begini dia sudah berehat di rumah namun kedatangan anak kecil yang diserang asma tadi menangguhkan kepulangannya.  Dia tidak mengeluh, sebaliknya bersyukur kerana dapat membantu pesakit yang sangat-sangat memerlukan bantuannya.

 Kelihatan di hadapannya seorang wanita mendokong seorang anak berjalan perlahan-lahan.  Jazman memperlahankan pemanduannya.  Tingkap bahagian penumpang sebelah hadapan diturunkan.   

“Mari saya hantar pulang” Jazman menjerit sedikit agar dapat didengar oleh Qaseh Hana. 

Qaseh Hana serba salah.  Dia segan, tetapi di waktu selewat ini, bantuan yang ditawarkan ibarat orang mengantuk yang disorongkan bantal.  Qaseh Hana masuk ke dalam kereta, duduk di hadapan sambil meriba Iman Naqif.  Terasa kekok duduk di dalam kereta Nissan Teana di sebelah doktor yang baik hati itu.  Sudahlah tadi dia dibenarkan berhutang, sekarang dihantar pulang pula.  Iman Naqif yang sudah kepenatan pantas terlena di atas ribaan ibunya.

Pandangan Jazman tertumpu kepada jalan di hadapannya.  Suasana sepi hanya bertemankan lagu yang berkumandang dari radio kereta.  Sekali sekala Qaseh Hana memberi tunjuk arah.  Jazman mengerling ke sebelah kiri, tersenyum melihat si comel Iman Naqif yang nyenyak diulit mimpi. 

“Dah lena ya?”  Jazman memecahkan kebisuan di antara mereka.

“Ya.  Dia memang biasa tidur awal,” Qaseh Hana bersuara.

“Maaf saya bertanya, suami puan mana?”  Jazman mengajukan soalan, sambil mengerling Qaseh Hana sekilas.

“Dia dah tinggalkan kami.”

“Dah lama dia meninggal?”  Jazman bertanya lagi.

Qaseh Hana menyedut nafasnya dalam-dalam, kemudian dengan tenang dia berkata “meninggal dunia belum lagi, meninggalkan saya dan anak-anak sudah empat tahun.  Jarang sangat dia balik dan dua tahun lepas… ketika Naqif dilahirkan… dia balik untuk kali terakhir.  Untuk melafazkan talak terhadap saya.”

Jazman terkedu.  Tidak menyangka akan mendengar jawapan itu.  Menyelinap rasa bersalah kerana menanyakan soalan tadi dan sesaat kemudian menyelinap pula rasa simpati yang mendalam.

Perjalanan yang bersisa lima minit diteruskan tanpa bicara.  Sebaik tiba di hadapan rumah, Jazman cepat-cepat keluar dari kereta dan berjalan ke arah Qaseh Hana yang cuba keluar sambil mendukung Iman Naqif.  Jazman menawarkan untuk mendokong Iman Naqif.  Qaseh Hana mengangkat matanya, dan dua pasang mata bertembung.  Terpancar sinar keikhlasan daripada mata Jazman, lantas Qaseh Hana membenarkan. 

“Terima kasih Doktor,” kata Qaseh Hana ketika menyambut Iman Naqif dari dukungan Jazman di muka pintu.  Di dalam hatinya dia bersyukur dengan pertolongan yang Allah turunkan kepadanya malam ini.

 

*******

Tiga hari kemudian Qaseh Hana datang ke klinik Jazman untuk melunaskan hutangnya.  Mereka bertembung di pintu, kebetulan Jazman hendak keluar makan tengahari.  Terpandang sahaja wajah Qaseh Hana, timbul perasaan simpati yang luar biasa.  Jazman mempelawa Qaseh Hana makan dengannya.

Jazman menolak bayaran Qaseh Hana.  Katanya dia telah menghalalkan hutang tersebut, dengan niat mahu menolong.  Qaseh Hana serba salah hendak menerima bantuan Jazman. 

 “Maaf doktor, saya tak dapat terima bantuan doktor.  Memang saya susah, tapi saya masih boleh bekerja untuk menyara diri dan anak-anak.” 

 Jazman tidak membalas, sebaliknya merenung wajah bersih di hadapannya.  Di wajah itu terpancar segalanya – ada kedukaan, ketabahan, ketenangan dan keazaman.  Qaseh Hana tunduk, memandang pinggan berisi nasi goreng paprik yang dipesan oleh doktor muda itu.  Terbayang wajah Qaseh Aida, Qaseh Julia dan Iman Naqif.  Pasti anak-anaknya gembira jika dapat menikmati hidangan itu.  Nasi goreng bagi mereka hanyalah nasi putih yang digoreng dengan kicap, dimakan dengan ikan bilis goreng atau telur dadar.

“Makanlah” Jazman mempelawa.  Doa makan dibaca dan dia mula menjamah nasi di hadapannya.  Qaseh Hana hanya memandang sepi ke arah makanannya.  Perasaan sebak hinggap di tangkai hatinya, membawa bersama airmata yang bertakung di tubir matanya.  Tisu dicapai, lantas airmata dikesat agar tidak tumpah.

“Qaseh…… awak OK tak?”  Jazman berhenti makan.  Merenung Qaseh Hana yang masih menunduk. 

“Kalau awak tak suka nasi ni, kita order makanan lain.  Awak nak…?”
 
“Jangan!”  pantas Qaseh Hana memintas.  “Orang susah macam saya tak pernah cerewet soal makanan.  Saya…”  Qaseh Hana menelan liurnya.  Bagaikan ada ketulan besar yang menyekat kerongkongnya.

“Saya teringat anak-anak di rumah.”

Jazman terkedu.  Wajah Qaseh Hana direnungnya tanpa kata.  Tidak disangka tindakannya mempelawa Qaseh Hana makan bersama rupa-rupanya mengundang duka di hati.

Berfikir sejenak, kemudian dia bangun dan berjalan ke kaunter restoran, sambil Qaseh Hana memandang kehairanan. 

“Saya dah minta bungkuskan untuk anak-anak awak.  Tiga bungkus cukupkan?” 

“Masya Allah, bukan itu maksud saya.  Doktor tak perlu buat semua ni.”  Qaseh Hana menyuarakan rasa kurang senangnya, dengan suara yang sedikit tinggi.

“Kata orang, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari.  Anggap sajalah pertolongan saya ini sebagai rezeki yang Allah anugerahkan kepada awak hari ini.”

 

*******

Selepas hari itu Jazman terpanggil untuk mengenali dengan lebih lanjut Qaseh Hana dan anak-anaknya.  Sekali sekala dia menziarahi mereka di rumah, datang bersama makanan, buku dan barang permainan untuk tiga permata hati Qaseh Hana.

Di satu petang Jumaat, ketika Qaseh Hana pulang dari mengambil wang jualan kuih dan nasi lemak di gerai Kak Bedah dan Restoran Lesung, kereta Jazman sudah terparkir di hadapan rumahnya.  Di laman rumahnya, Jazman sedang mengajar Qaseh Aida membaca buku dalam Bahasa Inggeris, sambil meriba Iman Naqif.  Qaseh Julia pula sibuk mewarnakan gambar di dalam buku warna yang dibelikan oleh Jazman.  Qaseh Hana sebak tatkala melihat Jazman mencium dahi Iman Naqif,  bagaikan dia benar-benar menyayangi anak kecil itu. 

Qaseh Hana terharu dengan layanan, bantuan dan kasih sayang yang Jazman berikan terhadap anak-anaknya.  Namun dia juga tahu kemesraan, layanan, bantuan dan kasih sayang yang ditumpahkan kepada anak-anaknya bakal mengundang masalah, baik kepada keluarganya, juga kepada Jazman.

Qaseh Hana mengetap bibir, bertekad bahawa apa yang bermain di mindanya harus disuarakan hari ini.  Dia memberi salam sambil membuka pagar.  Selepas itu dia meminta anak-anaknya masuk ke dalam, katanya ada perkara yang hendak dibualkan dengan Uncle Doktor, panggilan anak-anaknya terhadap Jazman.

“Macam mana jualan hari ini?”  Jazman bertanya sambil melemparkan senyuman.

“Alhamdulillah, semua habis.  Lusa ada orang menempah seratus bungkus nasi lemak.”  Qaseh Hana senyum.  Dengan tempahan tersebut, rezekinya minggu ini bertambah.

“Alhamdulillah.  Banyak tu.... mampu ke buat seorang?”

“In sya Allah boleh.  Doakan saya sihat dan tiada masalah.”  Qaseh Hana optimis.  Jazman mengangguk beberapa kali, kagum dengan semangat Qaseh Hana.

“Kalau perlu bantuan, bagi tau ya.”

Qaseh Hana tertawa.  Bila Jazman memandangnya, cepat-cepat tangannya menutup mulut.

“Kenapa?”  Jazman kehairanan.

“Doktor nak tolong?  Doktor reti ke bungkus nasi lemak daun pisang?”  Qaseh Hana senyum.  Ada nada menyakat dalam suaranya.

 “Kalau awak ajar, retilah saya nanti.”  Ayat Jazman tamat di situ, namun matanya masih melekat pada wajah Qaseh Hana.  Itulah kali pertama dia melihat Qaseh Hana ketawa.  Manis, desis hatinya.

 “Doktor… doktor…. kenapa pandang saya macam tu?”  Qaseh Hana merasa tidak selesa dengan renungan Jazman.

 “Awak… awak kena selalu senyum dan ketawa.”  Kata Jazman, tidak mahu terlebih memuji, takut disalah anggap oleh Qaseh Hana.  Qaseh Hana melarikan matanya dari menatap wajah Jazman.  Dadanya berdebar.

“Doktor,” panggil Qaseh Hana, menyingkirkan kebisuan di antara mereka.  Namun pandangannya tetap dihalakan jauh dari Jazman.

“Minggu ni setiap hari Doktor datang ke rumah saya.  Isteri doktor tak marah ke?”

“Dia balik kampung.  Dia tahu tentang awak, saya dah ceritakan.”  Jazman menjelaskan.

“Saya rasa doktor tak payahlah datang ke sini,” ujar Qaseh Hana. 

“Kenapa?  Qaseh tak suka saya datang?”  Riak wajah Jazman menjadi tegang.

“Tak manis dilihat orang.  Lagipun doktor ada isteri.  Saya tak mahu timbul salah faham di pihak isteri doktor.  Saya tahu doktor ikhlas menolong, tapi takkan selamanya saya menerima bantuan doktor.  Saya perlu berdikari membesarkan anak-anak saya.” 

 “Qaseh, awak tahukan saya tak ada anak.  Saya terhibur dengan kerenah anak-anak awak.  Bukannya besar sangat pun pertolongan saya.”

 “Tak besar?  Doktor belikan pakaian, makanan, permainan, buku dan alatulis.  Belum lagi rawatan dan ubat percuma untuk mereka.  Maaf, saya tak mahu terhutang budi.” Tegas nada suara Qaseh Hana menyatakan pendiriannya.

“Qaseh... saya tak anggap pun saya berbudi pada awak dan anak-anak.  Saya juga tak mengharapkan apa-apa balasan.”

 Qaseh diam.  Berfikir bagaimanakah dia dapat menerangkan kepada Jazman, bahawa dalam syukurnya ada kegusaran yang besar.  Dia gusar dengan tanggapan jiran tetangga terhadapnya.  Dia juga gusar jika ada cemburu dan syak wasangka di pihak isteri Jazman.  Dia juga tidak mahu anak-anaknya, yang sememangnya dahagakan kasih sayang seorang ayah, membina harapan yang akan melukakan hati mereka di kemudian hari kelak.

“Saya balik dulu.  Tapi tolong…  jangan halang saya daripada berjumpa dengan anak-anak awak.  Saya tidak pernah segembira ini Qaseh.”

Jazman pergi, meninggalkan Qaseh Hana yang buntu.

 
*******

“Sama ada kamu mahu menjadi positif atau negatif, itu pilihan kamu,” guru kaunseling pencen sudah memulakan kata nasihatnya.  Fathiyah menongkat dagu.  Kuih bingka ubi masih belum disentuh.  Kopi di dalam cawan juga sudah sejuk.

“Kan lebih baik kalau kamu melihat perkara ini dari perspektif positif?  Kalau kamu berfikiran negatif tentulah kamu rasa akan kehilangan suami atau ada orang yang mencuri kebahagiaan kamu.  Sebenarnya bahagia atau tidak, adalah pilihan kamu sendiri.  Kalau kamu sabar, dan redha dengan qada’ dan qadar, kamu akan tengok perkara ni secara positif.  Cuba fikir dengan bermadu, kamu akan dapat kawan dan anak.  Malah, lebih penting lagi kamu dapat pahala.”

“Thiya dah ada ramai kawan mak.  Thiya tak perlukan kawan baru.  Soal anak, dulu Abang Jaz sendiri yang kata dia tak kisah.”  Fathiyah menangkis nasihat emaknya. 

 Dia balik ke kampung untuk mendapatkan sokongan emaknya.  Berharap emak akan mengikutnya pulang, atau sekurang-kurangnya menelefon Jazman untuk menasihati Jazman agar membatalkan niatnya untuk berkahwin dengan ibu tunggal itu.  Sebaliknya, emak seakan bersetuju dengan Jazman.  Hari ini, setelah hampir seminggu di kampong, emak berkeras menyuruhnya pulang.

“Thiya, bagi seorang lelaki memiliki zuriat sendiri adalah satu kebanggaan.  Walaupun dia pernah berkata dia tak kisah tak ada anak, tak banyak sikit, mesti ada rasa terkilan.  Tambahan pula sekarang ada peluang.  Menghalangnya bererti kamu menidakkan haknya.  Mak yakin Jazman tu ikhlas.  Kalau dia nak kahwin sebab dia gatal, dah lama dia buat dan lebih baik dia cari gadis yang muda, lawa.  Bukannya dia tak mampu.”

“Dari segi material dia memang mampu mak.  Tapi mampukah dia berlaku adil?”  Fathiyah menangkis hujah emaknya dengan soal keadilan.

“Kamu bantulah dia untuk jadi suami yang adil,” suara Puan Kalsom keras sedikit.  Geram melihatkan kedegilan anaknya.

“Banyak kes lelaki berpoligami tak dapat berlaku adil kerana salah seorang daripada isterinya terlalu dominan dan lupa hakikat bahawa dia berkongsi suami dengan perempuan lain.  Mengongkong suami dan mahukan suami untuk dirinya sahaja, walaupun dia tau dia bermadu.  Kamu dan madu kamu boleh mainkan peranan, berbincang dan saling mengingatkan suami jika dia telah melebihkan kamu atau madu kamu.  Ingatkan Jazman, tentang balasan di akhirat nanti kalau dia tak adil.  Satu lagi, berserahlah kepada Allah.  Doa banyak-banyak agar kamu dan madu kamu boleh berkongsi suami dengan harmoni.  Ramai orang yang bermadu Thiya, dan mereka bahagia.”

Fathiyah mengetap bibir.  Masih tidak puas hati dengan nasihat emaknya yang tidak memihak kepadanya.

“Baliklah Thiya, tak baik tinggalkan Jazman lama-lama.  Karang lama sangat kamu tinggalkan dia, tau-tau bila kamu balik... dia dah menikah!”  Puan Kalsom sengaja memprovok anaknya.

“Emak!”  Dahi Fathiyah berkerut, dan bibirnya memuncung.

 
*******

I miss you sayang” bisik Jazman sambil merapatkan Fathiyah ke dadanya.  Kemudian dahi Fathiyah dikucup.

"Betul ke dia rindukan aku?  Entah-entah seronok… dapat jumpa janda tu setiap hari” iblis menghembuskan hasutan ke dalam minda Fathiyah.  Dibiarkan sahaja Jazman merangkulnya. 

“Mak dan ayah sihat?” soal Jazman, cuba berbual dengan Fathiyah yang masih dingin. 

“Alhamdulillah.  Mereka kirim salam.  Abang dah makan?” 

“Waalaikummusalam.  Abang belum makan.  Jom, kita keluar makan.”

 Fathiyah memandang Jazman dengan rasa hairan.  Iblis memainkan peranannya lagi, membisikkan syak wasangka di hati Fathiyah.

“Sejak dia kenal janda tu, dah lama dia tak ajak aku keluar dinner.  Makan di rumah pun dah jarang.  Ini mesti ada something ni.  Entah-entah nak pancing aku,” bisik hati Fathiyah.

“Lepas Maghrib kita keluar ya.  Abang mandi dulu.”  Tanpa menunggu persetujuan daripada isterinya, Jazman melangkah, meninggalkan Fathiyah yang masih bolak balik perasaannya. 

Sejak hari itu setiap malam Jazman meluangkan masa untuk Fathiyah.   Bersolat Maghrib dan makan bersama, dan kembali kepada rutin asal mereka.  Fathiyah bersyukur, namun terselit kerisauan di hatinya.  Jazman tidak seceria dahulu, sering termenung dan kurang bercakap. 

 
*******

Petang itu Fathiyah mengintip Jazman.  Rupa-rupanya suaminya masih berkunjung ke rumah itu.  Dia melihat suaminya melayani tiga anak kecil itu dengan penuh kasih sayang.  Menyelinap perasaan sedih kerana gagal menganugerahkan zuriat untuk suaminya.  Bila melihat pula perempuan itu berbual dengan suaminya, muncul pula perasaan marah.

Fathiyah menghentak stering kereta. 

“Janda tak guna!  Kau gunakan anak-anak untuk pikat suami aku!  Siap kau!”

Fathiyah pulang dengan perasaan berkecamuk.  Wajah ceria Jazman ketika bersama anak-anak itu mengganggu mindanya, bersilih ganti dengan wajah perempuan itu.  Badannya dihempaskan ke katil dan dia menangis sepuas hati.  Satu saat dia menyesali takdirnya. Tersedar, lantas cepat-cepat beristighfar.  Sesaat kemudian timbul pula amarah terhadap wajah-wajah yang kini mengisi hati Jazman, diikuti pula dengan rasa kasihan terhadap Jazman. 

 
*******

Salam diberi dan selepas beberapa ketukan, pintu dibuka.  Anak comel bertocang dua menyambut salam sambil mengintai di balik pintu.

“Ibu belum balik.  Makcik nak order nasi lemak ke kuih?” soal anak comel itu sambil tersenyum, menampakkan gigi depan yang rongak.  Fathiyah terkedu. Belum sempat bersuara muncul pula yang kecil, menggonggong botol susu.  Matanya yang jernih merenung Fathiyah dengan penuh minat.

"Ni adik saya, nama dia Naqif,” tanpa disoal si kakak memberitahu. 

“Makcik duduk kat kerusi tu ya, kejap lagi ibu balik.  Ibu kata jangan bagi orang masuk rumah kalau ibu tak ada.”

Entah dari mana datangnya, muncul satu perasaan indah tatkala mendengarkan kepetahan sang kakak.  Wajah bersih itu direnung lama, kemudian beralih kepada si adik.  Fathiyah bertinggung di depan pagar, teringin mencubit pipi si adik.  Si kakak pantas menghulurkan tangan di celah pagar.  Bila sahaja Fathiyah menyambut tangannya, pantas disalami dan diciumi tangan Fathiyah.

“Ibu pergi mana?”

 “Ambil Qaseh Julia kat tadika.  Dia adik saya nombor satu.  Yang ni nombor dua.”  Si kakak ramah menjawab.

“Nama kakak siapa?”    

“Qaseh Aida.  Panggil Aida je.  Makcik duduklah atas kerusi.  Nanti sakit kaki cangkung lama-lama.”

Fathiyah tersenyum mendengar celoteh Aida.  Dia bangun dan di saat itu pintu terbuka lebih luas, muncul seorang wanita berkerusi roda.  Fathiyah terpempan.

 “Tunggu Ana ke?”  soal wanita itu sambil tersenyum.  Fathiyah mengangguk.

Suara perempuan memberi salam membuatkan Fathiyah berpaling.  Dia senyum sambil menghulurkan tangan dan Fathiyah menyambut salam. 

Qaseh Hana menjemput Fathiyah ke dalam rumahnya.  Kemudian dia ke dalam bersama-sama anak-anaknya.  Fathiyah dilayan berbual oleh ibu Qaseh Hana.  Dari ibu Qaseh Hana, dia mengetahui kepayahan ibu tunggal itu menyara tiga orang anak dan ibunya.  Hatinya terkesan tatkala mendengar kisah Qaseh Hana diceraikan suaminya yang bermain kayu tiga.

 Sebentar kemudian Qaseh Hana keluar membawa dulang berisi air teh dan sepiring kuih.  Qaseh Aida sudah siap beruniform sekolah, manakala Qaseh Julia telah menyalin uniform tadikanya.  Fathiyah kagum melihat dua anak kecil itu yang sudah pandai berdikari.

 “Puan nak order kuih ke?”  soal Qaseh Hana setelah Fathiyah menghirup teh ‘o’.  Fathiyah meletakkan cawan di meja.  Mengangkat mukanya dan merenung wajah Qaseh Hana.  Meneliti setiap inci wajah wanita muda itu.  Di hadapannya dia melihat seorang ibu muda yang diduga dengan kepayahan, namun cekal mengharungi takdir. 

Sebelum datang dia telah bertekad akan memberi amaran kepada perempuan ini agar jangan mengganggu suaminya lagi.  Namun kini, bila berdepan dengan musuhnya, satu perasaan lain pula muncul. Renungannya membuahkan kehairanan di hati Qaseh Hana.

“Puan,” Qaseh Hana memanggil lembut.

“Saya…”  ayat Fathiyah mati di situ.  Dia kehilangan kata-kata.  Kebetulan Qaseh Aida merapati sambil memaklumkan van sekolahnya sudah sampai.

Qaseh Hana menghantar anaknya ke pagar.  Setelah mencium tangan ibunya, Qaseh Aida menuju ke van.  Beberapa langkah kemudian dia berhenti, berpaling ke arah ibunya dan bertanya “Ibu, Uncle Doktor datang tak nanti?”

Bergetar jantung Fathiyah mendengarnya. 

“Aida, kan ibu dah pesan…. kita tak boleh berharap dengan Uncle Doktor.  Dia ada keluarga.  Kalau dia senang, dia datanglah.”

Fathiyah sebak tatkala mendengar jawapan Qaseh Hana. 

 
*******

Mata Qaseh Hana basah.  Wajah Jazman dan Fathiyah direnungnya silih berganti.  Mata menyorot ke muka emak.  Di situ dia mencari kekuatan.  Emak mengangguk, bagaikan mengerti gelora di hatinya. 

Sudah dua minggu dia mengenali Fathiyah, yang kali pertama berkunjung membawa satu tandatanya di benaknya.  Datang lagi tiga hari kemudian, memesan nasi lemak.  Kunjungan ketiga menyusul untuk memesan karipap.  Kunjungan keempat sekadar untuk menziarahinya dan anak-anak.  Dan hari ini, kunjungan kelima datang bersama Jazman, membawa sebentuk cincin, melamar dia menjadi isteri kedua Jazman.

“Qaseh…demi Allah saya sudi dan ikhlas menerima Qaseh sebagai madu saya.  Saya dah fikirkan masak-masak dan saya berdoa perbuatan ini diredhai Allah”  Fathiyah memujuk. 

Makin deras airmata Qaseh.  Benarkah ini, atau mimpi semata-mata? 

“Qaseh, saya ikhlas mahu menjadi suami awak dan bapa kepada anak-anak awak.”  Jazman akhirnya bersuara. 

Ketika Fathiyah melafazkan izinnya, dia terus melakukan sujud syukur.  Berterima kasih kepada Al Khaliq, yang mencetuskan perasaan cinta terhadap Qaseh Hana dan anak-anaknya, dan yang melembutkan hati Fathiyah untuk memahami dan merestui hajatnya. 

“Qaseh, seumur hidup saya… saya tidak pernah berkongsi apa yang saya sayangi dengan orang lain.  Sekarang saya sedar… Allah memberikan Abang Jazman kepada saya, untuk… dikongsi bersama awak.  Mudah-mudahan… di sana nanti… saya mendapat payung emas.”  Dalam sebak, Fathiyah menghabiskan ayatnya. 

“Baiklah… saya terima lamaran ini.  Kak Thiya, terima kasih di atas restu.  Semoga Allah memberkati kakak.”  Akhirnya Qaseh Hana bersuara, sambil menyapu airmata di pipi.  Pandangannya berkalih pula ke arah Jazman.

Betapa selama ini dia menidakkan perasaannya terhadap Jazman.  Namun kuasa Allah akhirnya berpihak kepadanya.  Di sudut hatinya Qaseh Hana berdoa, agar Jazman mampu menjadi suami yang adil dan dia sendiri mampu menjadi madu yang baik buat Fathiyah.

No comments:

Post a Comment