Tuesday, 27 November 2012

Abah

Abah.  Satu insan yang sangat istimewa. 
Istimewa kerana sikap pengasihnya.  Kasih sayang abah merapatkan aku dengan ibu tiri dan adik-adik berlainan ibu.  Abah tinggal dengan mereka di Jementah.

Aku tidak rapat dengan abah.  Perceraian abah dengan mama memisahkan kami.  Namun, kuasa Allah menyatukan kami.  Bila usia menginjak dewasa, kesedaran tentang pentingnya menjalin hubungan kekeluargaan dan keupayaan untuk menziarahi abah yang disokong oleh suami tercinta, menjadikan kami rapat semula.

Aidilfitri menjadi tali penghubung, mengikat kasih sayang antara kami agar tidak terputus walau jarak memisahkan, walau kesibukan menjadi dalang.  Sejak bertahun, sudah menjadi rutin pada hari raya pertama, kebiasaannya selepas Zuhur, kami akan bertolak ke Jementah untuk meraikan aidilfitri dengan abah.  Dan abah tidak betah duduk diam, selagi anak-anaknya belum tiba.  Sekejap-sekejap dia menelefon, bertanya sudah sampai di mana.  Sekejap-sekejap dia bertanya mama, bila anak-anak akan tiba.


Aidilfitri terakhir bersama abah

Bukan sekadar aidilfitri, bila saja ada kelapangan masa, aku ajak suami pulang ke Jementah, menziarahi abah dan meluangkan masa dengannya.

Abah rajin melayan cucu. Masih aku ingati percutian kami di Bachok, Kelantan. Tidur di chalet tepi pantai. Keesokan harinya abah seronok melayan cucu-cucunya mandi manda. Petangnya abah seronok melayan cucunya makan "cholek" di pantai.

Abah suka bercerita.  Dua perkara yang sering diceritakan ialah tempat-tempat menarik yang pernah dilawatinya ketika dia bekerja sebagai pemandu pelancong dan politik.  Ingatan abah sangat baik hinggakan dia boleh mengingati banyak tempat menarik yang dilawati dan berkongsi keunikan tempat-tempat tersebut.  Abah juga suka berkongsi cerita tentang kawasan-kawasan felda yang pernah disinggahinya semasa beliau menjalankan perniagaan roti.

Abah tidak suka menceritakan keburukan orang.  Pernah abah menegur aku kerana bercakap mengenai seseorang di depannya.  Abah juga tidak suka menyusahkan orang lain.  Walau dalam keadaan kesihatan yang kurang baik, dia tidak meminta dipimpin.  Ketika dia perlu menggunakan tiub untuk buang air kecil, hanya mama yang dibenarkan mengosongkan dan membersihkan kantung kencingnya.

Kata mama Ida, abah tidak pernah mengeluh, sentiasa optimis dan sentiasa tenang.  Apa pun dugaan, masalah atau situasi sukar yang dihadapinya, dia tetap tenang.

Abah serba sederhana.  Tidak bermegah-megah, tidak bermewah-mewah.  Sentiasa merendah diri.  Aku sangat pasti, abah orang yang disenangi ramai.

Abah sangat mementingkan ukhwah.  Setiap kali ada jemputan daripada saudara mara, selagi upaya, abah akan penuhi jemputan itu.  Walaupun dia terpaksa mengharungi perjalanan berjam-jam lamanya, selagi kudratnya ada, dia tetap akan hadir.

Abah semakin dimamah usia.  Dari seorang lelaki yang sihat dan tegap, abah mula sakit.  "Sakit sikit-sikit je", katanya bila ditanya kala terdengar bunyi batuknya.  "Ok, tak ada apa" sering dia menjawab begitu bila ditanya tentang kesihatannya.

Abah pernah kena stroke dua kali.  Alhamdulillah, abah sihat semula.  Abah memang kuat melawan penyakit.  Dia dah terbiasa aktif, jadi dia rimas bila sakit.  Selalu abah kuatkan semangat bahawa dia pasti akan sihat dan dapat menjalani aktiviti seperti biasa.

Pernah tangan abah tak dapat berfungsi dengan baik kerana serangan stroke.  Namun, perlahan-lahan jari jemari abah pulih semula.  Pernah juga pertuturan abah menjadi kabur, susah untuk difahami.  Lebih-lebih lagi kalau abah bercakap dalam telefon, susah hendak mentafsir apa yang dituturkannya.  Namun abah cekal, semangatnya kuat.  Perlahan-lahan, pertuturannya pulih, walau tidak baik seperti sediakala.

Langkah kaki abah juga tidak tangkas seperti dahulu.  Masih segar dalam ingatan, ketika aku balik menjenguk abah sehari selepas Aidiladha, berjingkit-jingkit abah keluar dari bilik, dengan kantung kencing diselit di celah gulungan kain pelikat.  Abah senyum, dia nampak steady, sihat dan happy.  Banyak abah makan nasi goreng yang dibuat oleh Ika, adikku.  Memang kalau Ika balik, abah akan request nasi goreng Ika.  Habis semangkuk bubur kacang abah makan.  Itulah kali terakhir aku meluangkan masa dengan abah, ketika kesihatannya belum merosot.

Namun, siapalah kita untuk melawan takdir.  Akhirnya, pada 22 November 2012, jam 11.05 malam, bersamaan 9 Muharram 1433, abah pergi untuk selama-lamanya.  Abah pulang menemui Al Khaliqnya.  Baru saja semalamnya aku, Kak Chik dan adik menziarahi abah di hospital.  Memang nampak teruk keadaan abah, berbanding keadaannya ketika sakit sebelum-sebelum ini.  Abah tak ada selera makan.  Abah tak berupaya untuk bangun duduk di atas katil hospital.  Abah tak mampu senyum kepada kami, tidak seperti lazimnya abah sentiasa murah dengan senyuman, walaupun ketika tidak sihat.


Ketika aku maklumkan kepadanya dia mungkin boleh balik petang itu, abah kata "satu malam lagi."  Bila mama pujuk, lebih baik balik kerana di rumah lebih selesa, abah ulangi "satu malam lagi."  Mungkinkah abah mengetahui dia akan pergi? 

Pada pagi 22 November itu, hati sudah merasa berat untuk pergi bekerja sejak subuh lagi. Aku sangkakan mungkin kepenatan memandu pada hari semalamnya menyebabkan aku merasa malas.  Namun, ketika aku dalam perjalanan ke tempat kerja, panggilan telefon daripada Alop memberi jawapan kepada gerak hatiku.  Pagi itu abah kena serangan jantung. 

Ketika kami sampai di hospital sekitar jam 3.45 petang, abah sudah dipasang dengan alat sokongan hayat.  Degupan jantungnya terlalu kencang, tekanan darahnya pula terlalu rendah.  Saudara-mara sudah dimaklumkan.  Ramai yang menziarahi abah di hospital.  Kami beredar dari hospital sekitar jam 8 malam.

Sekitar jam 9.30 malam, ketika sedang membacakan Yaasin untuk abah, aku menerima panggilan telefon daripada Ika, memaklumkan bahawa doktor memanggil isteri dan waris abah ke hospital kerana abah semakin tenat.  Ketika aku sampai ke katilnya, abah telah pergi.

Abah pergi pada malam Jumaat.  Abah pergi diiringi airmata orang-orang yang mengasihi abah.  Awan mendung mengiringi perjalanan jenazah abah ke pusaranya.  Sebelum solat jumaat, jenazah abah selamat disemadikan.  Alhamdulillah, anak-anak lelaki abah memandikan jenazah abah.  Alhamdulilah, semua urusan pengkebumian abah berjalan dengan lancar.

Kain kapan abah

Abah telah pergi, buat selama-lamanya.  Yang tinggal ialah kasih sayang abah, kenangan bersama abah, sikap baik abah yang perlu aku contohi dan semangat abah yang perlu aku ambil.

Semasa dia hidup, aku tak pernah ucapkan aku sayang kepadanya.  Sepanjang hayatnya, aku hanya mengenalinya dengan lebih rapat setelah berumah tangga.  Maknanya aku lebih akrab dengan abah hanya sepanjang 17 tahun yang lepas.  Namun aku sebenarnya sangat-sangat sayangkan abah.

Terima kasih ya Allah kerana memberikan aku 17 tahun yang indah bersama abah.
Syukran ya Allah kerana memberikan aku ibu tiri yang sangat baik, yang telah bersusah payah menjaga abah dan setia bersamanya ketika susah dan senang.  Juga di atas layanan baiknya terhadap kami.
Alhamdulillah di atas hubungan kekeluargaan yang baik dengan adik-adik di sana.  Semoga ianya berkekalan, walaupun tanpa abah sebagai tali pengikat yang memastikan ikatan persaudaraan itu tidak rapuh.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas arwah Haji Ismail bin Haji Hamzah dan menempatkan beliau di kalangan mereka yang dirahmatiNya.  Amin.








4 comments:

  1. Assalamualaikum. Takziah..Moga ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa

    ReplyDelete
    Replies
    1. Walaikumussalam. Terima kasih.

      Btw, I enjoy reading your hikayats. Keep writing ya.

      Delete
  2. Terima Kasih Abah. Kasih sayang abah menyatukan kami. Abah menyedarkan kami tentang kepentingan hubungan persaudaraan, tentang kasih sayang antara adik beradik dan famili. Banyak aku belajar dari sikap abah. Moga Roh Arwah dicucuri rahmat dan berada di kalangan orang yang beriman. Amin.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sis, kehilangan orang yang disayangi menyedarkan kita tentang kasih sayang. Love must be unconditional.

      Delete